Ciri-ciri konsonan Konsonan

Setiap konsonan boleh dibezakan mengikut sifat:[4]

  • Cara artikulasi ialah cara konsonan dibunyikan, seperti sengau (melalui hidung), hentian (menghalang udara sepenuhnya), atau malaran tak bergeser (seakan-akan vokal).
  • Daerah artikulasi ialah anggota saluran suara yang berlakunya gangguan konsonan, yang mana terlibatnya organ-organ pertuturan, termasuk dwibibir (kedua-dua bibir), gusi (lidah menyentuh rabung gusi), dan velar (lidah menyentuh lelangit lembut). Selain itu, terdapat juga penyempitan di satu anggota serentak dengan gangguan di anggota lain, seperti pempalatalan atau pemfarinksan.
  • Pembunyian konsonan ialah cara pita suara bergetar ketika penyebutan. Apabila pita suara bergetar sepenuhnya, maka konsona itu bersuara; jika langsung tidak bergetar, maka konsonannya tak bersuara.
  • Masa mula suara (voice onset time) menandakan pemasaan pembunyian, seperti penghembusan.
  • Mekanisme arus udara ialah cara udara dikuasakan melalui saluran suara. Kebanyakan bahasa hanya ada konsonan egresif pulmonik yang menggerakan paru-paru dan diafragma, tetapi ejektif, klik dan implosif menggunakan mekanisme berbeza.
  • Kepanjangan ialah berapa lama gangguan konsonan itu. Contohnya, "massa" [masːa] berbanding dengan "masa" [masa]. Kebanyakan bahasa ada dua kepanjangan konsonan, iaitu "tunggal" dan "panjang" (atau geminat). Bahasa Estonia dan sesetengah bahasa-bahasa Sami pula ada tiga kepanjangan fonemik, iaitu: pendek, panjang, dan amat panjang, cuma perbezaan antara sederhana dan amat panjang merangkumi ciri-ciri suprasegmental.

Adakalanya, sesetengah pasangan konsonan tak bersuara-bersuara p::b, t::d dipanggil fortis dan lenis, tetapi sebenarnya dibezakan secara fonologi dan bukannya fonetik.